Showing posts with label makan-makan. Show all posts
Showing posts with label makan-makan. Show all posts

Tuesday, 2 December 2014

Mengidam nak makan korean food kat Dubu Dubu @ Mid Valey

Assalam semua. Tajuk Entry tak menahan kan? He he he... Alkisahnya, menjelang hari-hari terakhir di KL ni, cik z ada satu misi iaitu nak pergi makan kat beberapa tempat favorite sepanjang 3 tahun 3 bulan kat sini. Ini namanya memang misi mengada-ngada sebab kengkononnya tak de makanan yg sama macam tu kat Kuantan nanti he hehe. Selain tempat2 yg dah biasa pergi, ada satu tempat yg belum pernah pergi lagi iaitu Dubu Dubu kat Mid Valey. Walaupun agak kerap ke Mid Valey tapi memang tak pernah lagi menyinggah ke Dubu Dubu hi hi setakat jeling-jeling ajer sebelum ni. Sebab utamanya ialah tak de geng nak makan hu hu.. sedihkan. Geng-geng yg terdekat ni tak makan korean food la pulak.


Minggu lepas, keinginan tekak cik z untuk makan korean food tak dapat ditahan-tahan lagi gara-gara blogwalking kat blog ramai blogger yg terjah ke Korea sempena Autumn. Terbayang-bayang kenangan makan kat sana masa Summer 2012 dulu. Aishh tak boleh jadi ni. Maka dengan berkobar-kobarnya cik z dah pun buat survey secara intensif iaitu pi tanya semua kawan-kawan yg ada kat sini (ehe he padahal 5 org je pun yg ditanya) ada tak sesaper yg sudi nak temankan cik z pi Dubu Dubu. Giler desperate kan.

Dan hasilnya...tada bukan sekali cik z pergi tapi dua kali dalam masa seminggu ha ha ha... Thanks a lot Kak Maizan and Fizz. Jasamu ku kenang gitu. Okay jom tengok apa yg kami makan. Dua kali pergi dah semestinya tak makan makanan yg sama. 


 
 Ini rupa menu yang disediakan.. Tengok senarai makanan dan gambar, err mmg macam nak rasa semuanya. Sesaper yg hardcore kdrama dan kvariety macam cik z dah tentu-tentu memang tahu apa jenis makanan dan namanya. 


Ini bil masa pergi kali pertama. Tengok tu macam-macam kami order. Tamak betul. Last2nya tak habis makan dan kami tapau bawa balik. 

Pajeon (korean pancake) RM11.50. Sedap sangat. Lebih-lebih lagi sos pencicah dia tu.

Cheese Toppoki RM15.90. Sedap juga. Cuma Rice cake nya agak liat. 

Set Dol Sot Bibimbab Beef RM19.90. Yang ni my favorite. 

Banchan (side dish) of the day. Yang ni sekali satu set dengan bibimbap. Sup tofu+seewed dia sedap sangat. Tapi kimchi tu not my taste la pulak. Rasa macam terlebih sangat rasa halianya.

Set Honey Bulgogy Beef RM 13.90. Dapat satu set dengan nasi dan banchan juga. Yang ni tak sentuh langsung so kami tapau. Tapi yg set2 lain tu memang licin kami kerjakan.

Dubu Bingsu (Korean Ice shave) RM 8.90. Sangat sedap. Macam makan aiskrim kacang merah.

Set Bulgogi yang ditapau tadi tu selamat menjadi nasi goreng Bulgogi. He he.

Ini pula bil masa pergi kali kedua. Lesson learn masa pergi yg kali pertama dulu tak habis makan kan, so kali ni tak tamak lagi dah.

Set SoonDubu Beef RM 17.90. Side dish yg diberikan memang berbeza dengan yg hari tu. Dalam kuah merah tu ada tofu, daging dan telur. Rasa dia agak pedas. Nak kata sedap sangat tu tak juga, tapi masih boleh ditelan dan diratah sehingga licin. he he.

Barley Tea Col RM 3.50. Tak de rasa manis. Tapi still sedap ditekak cik z yg memang tak berapa suka air manis. Lawan plak dengan soondubu yg pedas tu. Memang licinla gelasnya.

Set Cheese Roboki RM11.90. Ada rice cake, fish cake, ramen, dan telur rebus. Pedas + manis rasanya. Sedap cuma tak mengeyangkan sangat.

Amacam? Menarik tak? Entah bila lagi cik z akan ada kesempatan untuk makan kat sini lagi. Apapun mission accomplish. 



Monday, 20 October 2014

Jom makan nasi lemak di Village Park Restaurant

Baru-baru ni seorang rakan bersungguh-sungguh nak belanja cik z makan nasi lemak. Wah wah.. apa yang istimewanya ya nasi lemak ni sampai nak belanja cik z kan. Dah orang nak belanja kan so kita on je la kan. Okay rupanya kawan cik z ni nak bawa cik z makan kat Village Park Restaurant, Damansara Utama. 

Village Park Restaurant, No 5, Jalan SS21/37, Damansara Utama.

Alkisahnya, restaurant ni memang agak popular di KL. Cuma cik z ajer yang tak tau he he. Khabarnya, pemilik restaurant ni ada bau-bau bacang dengan Neelofa.  Betul ke tidak, jangan tanya cik z, I memang tak tahu. Tapi yang pasti memang ada banyak gambar-gambar selebriti tergantung kat restaurant ni termasuklah Dr Mahathir, Datuk Najib, dan Datuk Muhyidin. 

 

Selain nasi lemak, ada banyak juga pilihan makanan yang lain. Nasi putih dan lauk pauk serta kuih muih pun ada. Dan yang bagusnya restaurant ni banyak tempat duduk dan servisnya cepat. Dekorasi restaurant ala-ala chinese style sebab katanya diorang ni Chinese-Muslim. 



 My first impression... Ya memang betul, nasi lemak kat sini memang sedap rasanya. 9/10 markah cik z berikan. Sekali pandang nampak biasa-biasa ajer. Harga sepinggan ialah RM9 (Katanya dah naik harga ni). Selain telur rebus, timun, kacang tanah dan ikan bilis goreng yang memang wajib ada, ada juga 2 ketul ayam goreng berempah yang sedap giler dan juga sambal tumis secukup rasa pedas dan manis. Nasinya juga cukup lemak. Sekali makan ni, terus cik z kenyang sampai ke malam he he he. 

Yang kat bahagian kanan bawah butik tu pun restaurant ni juga.

Jadi kawan-kawan semua, bolehlah singgah kesini kalau berkesempatan ya. Selamat mencuba.

Monday, 13 October 2014

Resepi kek batik tanpa telur


Hari ni cik z nak kongsikan resepi kek batik paling sedap yang cik z pernah makan. Resepinya mudah saja, Buat sekali confirm akan ingat sampai bila-bila. Percayalah. Terima kasih buat kawan cik z iaitu Mek Ros yang sudi ajar cik z resepi ni lebih kurang 5-6 tahun dulu. Oleh sebab resepinya sangat sedap dan mudah, makanya semua ahli keluarga cik z sangat sukakannya. Kalau buat tak sampai sehari dah selamat licin. Oh ya anak-anak buah cik z pun hampir semuanya pandai buat sendiri kek ni walaupun diorang masih disekolah rendah. Okay jom kita tengok apa bahan-bahannya dan cara membuatnya langkah demi langkah.


Bahan-bahannya:

350-450g biskut marie
1 biji butter
1 tin susu pekat
1 cawan milo
1 cawan nestum
1 cawan air
serbuk koko
secubit garam

Langkah 1: Ambil satu tupperware dan sehelai plastik. Gunting plastik dan alaskan tupperware seperti diatas. Pastikan ada lebihan plastik pada bahagian tepi tupperware yang boleh menutupi keseluruhan tupperware itu nanti.

Langkah 2: Sediakan semua bahan-bahan. Semuanya perlu disediakan awal sebab proses pembuatan kek ni nanti sangat cepat. Patah-patahkan biskut mengikut saiz yang disukai. Jumlah biskut yang digunakan pula terpulang kepada anda iaitu antara 350-450g. Kalau suka manis dan rasa coklat yang lebih, gunakan 350g. 

Langkah 3: Ambil satu kuali besar. Cairkan butter.

Langkah 4: Masukkan susu pekat dan tunggu mendidih.

Langkah 5: Masukkan milo, air, dan secubit garam. Kemudian masukkan serbuk koko. Kuantiti koko yang nak digunakan pula adalah terpulang kepada anda sendiri. Kalau anda suka rasa koko yang lebih, letaklah lebih. 

Langkah 6: Setelah mendidih, masukkan nestum. Ratakan adunan ni. 

Langkah 7: Masukkan pula biskut marie. 

Langkah 8: Kacau adunan sehingga sebati. Ada sedikit kelonggaran disini. Kalau anda suka rasa biskut marie yang agak crunchy, jangan kacau lama-lama sangat. Ratakan ajer lebih kurang pastu terus matikan api.

Langkah 9: Angkat adunan dan masukkan ke dalam tupperware yang telah kita sediakan tadi.

Langkah 10: Ambil lebihan plastik, dan ratakan guna tangan. Tekan-tekankan ia supaya mampat. AWAS - aduan ni memang panas ya, kalau tak berani nak guna bare hand macam cik z ni, pakailah sarung tangan atau sudu. Langkah ni memang kena buat semasa adunan masih panas.

Langkah 11: Tadaaa.... ini dia hasilnya. Untuk sedikit hiasan, taburkanlah serbuk nestum diatas kek tadi. Bila kek dah sejuk, masukkan dalam peti ais. 

Langkah 12: Selepas 1-2 jam, bolehlah keluarkan kek dari peti ais. Potong ikut suka dan...makan...hehe. Untuk gambar kat atas ni cik z gunakan hampir 500g biskut marie. 

EXTRA tips: Katalah nak hidangkan sebuku kek ni atas pinggan. Jangan risau, tarik je plastik tu keluar. Plastik yang kita gunakan untuk alaskan tupperware tadi tu akan membantu kita keluarkan kek batik ni dengan mudah. Yang lagi best, tupperware tu tadi langsung tak kan ada kesan kotor. 2 in 1 kan?

Selamat mencuba semuanya. Wassalam.



Sunday, 5 October 2014

Petua nak buat ketupat daun yang cantik


Salam Aidiladha buat semua. Sempena hari raya ni cik z nak kongsikan satu petua turun temurun yang keluarga kami gunakan setiap kali membuat ketupat daun. Orang Johor dan ketupat daun dah semestinya macam isi dan kuku. Keluarga kami khasnya memang jadi hidangan wajib setiap kali raya mesti ada ketupat daun, kuah lodeh dan rendang. Alhamdulillah semua adik beradik cik z pandai mengayam ketupat, dan kini ilmunya diperturunkan ke generasi ketiga pula.

Petua yang cik z maksudkan, adalah seperti berikut. 

1. Ambil satu helai daun kelapa. Dengan menggunakan pisau kecil, buang bahagian daun  sebelah luar yang sedikit gelap warna hijaunya kira-kira 1-2 mm. Kemudian barulah buang lidinya.

2. Ambil sehelai kain dan lap dulu daun yang telah dibuang lidinya.

3. Anyamlah ketupat mengikut keselesaan. 

4. Basuh beras.

5. Isikan beras dalam kelongsong ketupat. Biasanya kami isikan 1/3 penuh.

6. Panaskan air bersih. Bila mendidih masukkan ketupat. Masak selama sekurang-kurangnya 4 jam. Sentiasa tambah air jika telah berkurangan.

7. Setelah 4 jam berlalu, masak seperiuk air. 

8. Ambil sebaldi air bersih. Letakkan sebelah menyebelah dengan seperiuk air panas yaang baru dimasak tadi.

9. Matikan api. Angkat ketupat satu persatu. Kemudian celupkannya kedalam air bersih. Selepas itu celupkan pula ketupat tadi kedalam air panas.

10. Siap untuk digantung dan dimakan.

Hasilnya adalah seperti dibawah ni.

 

Selamat mencuba.

Monday, 1 September 2014

Research Group Lunch: 3 in 1 celebration


Salam semua. Ini kisah yg dah agak basi sebenarnya. Tapi tak kiralah nak cerita juga kat sini. Minggu lalu hari Selasa 26 Ogos 2014, semua ahli research group kami termasuk dua orang sv pergi makan tengahari sama-sama di Restaurant Anis Puteri, Pantai Dalam. Dah agak lama kami semua tak keluar makan besar sesama macam ni. 

Kali ini kami meraikan Dr Mamun yang dah pun selamat mendapatkan gelaran Dr Falsafah Statistics dan juga Iqbal yang baru saja menamatkan master degree. Juga tak lupa ahli baru kami, Khairanny yang bakal memulakan master degreenya. Kira macam 3 in 1 la ni. Macam biasa kalau ada makan2 macam ni dah semestinya kami makan free he he he, sebab sv dah bayarkan.

Untuk makan-makan kali ni kami sengaja memilih menu Malaysian Food memandangkan kawan kami Dr Mamun ni akan balik for good ke Bangladesh pada malam tersebut. Kiranya macam last presents la kot untuk dia. Melihat betapa gembiranya dia tak sabar nak balik ke kampung halaman, buat kami pun rasa semangat dan teruja nak habiskan PhD juga. Kalau nak tahu kawan kami ni dah 4 tahun tak balik kampung. Siap dia kira dah 9 kali tak dapat sambut raya bersama famili. Jadi Aidiladha ni memang meriah sungguh la kot.

Apapun all the best untuk semua ahli research group ini. Nampaknya dua orang lelaki dah tak ada. Oh ya lupa nak citer yg Iqbal tu pulak nak terbang ke UK tak lama lagi. Maka tinggallah bunga-bunga ajer dalam group ni. Dan yang kelakarnya 4 orang bunga ni kesemuanya ada pipi yang chubby. Ha ha ha macam mana tu?


Cik z rasalah, pasti cik z akan rindukan research group ni nanti bila dah kembali ke Kuantan. Apapun friendship forever. Wassalam.


Thursday, 17 July 2014

Tart Gulung lagi: Langkah demi langkah lengkap dengan gambar

Salam semua. Atas permintaan ramai, kali ni cik z nak kongsikan pula cara-cara membuat tart gulung langkah demi langkah lengkap dengan gambar. 

Bahan-Bahan:

1 cawan marjerin planta
1/2 cawan gula halus/castor
1 biji kuning telur gred A
Sedikit perisa Vanilla
1 cawan tepung kastard
2/3 cawan tepung jagung
tepung gandum secukupnya (ayak dulu)
jem nanas
1 biji kuning telur gred A + pewarna kuning telur untuk sapuan akhir

Cara membuatnya:

 
Satukan marjerin+gula+telur dan pukul sehingga kembang.

Masukkan sedikit perisa Vanilla dan ratakan.

 
Masukkan tepung kastard + tepung jagung. Gaul sehingga sebati. Warna adunan akan bertukar menjadi kuning terang.

  
 Masukkan tepung gandum secukupnya. Uli sehingga menjadi doh. Jangan terlalu keras nanti tak boleh digulung pula. Sentiasa tutup doh untuk dengan penutup/dulang sebab doh ini mudah kering jika terdedah dengan udara.


Cara menggulung tart.

Barang-barang yang diperlukan: pencanai tepung, pisau kecil, pencetak tart gulung, dan...

 
sehelai plastik saiz besar yang digunting dibahagian bawah dan tepi.

 
Buka plastik yang telah dipotong tadi. Ambil segenggam doh yang telah dikepal-kepalkan dan letakkan diatas satu bahagian plastik yang terbuka tadi. Ambil satu lagi bahagian plastik dan lipat dua.

 
Canai doh tadi sehingga ketebalan kira-kira 2mm.

 
Buka lapisan atas plastik. Ambil pencetak tart gulung dan gulungkan/gerakkan nya di atas doh. Hasilnya terjadilah garisan seperti dalam gambar diatas. Ambil pisau kecil dan potong doh mengikut saiz yang disukai. Biasanya cik z potong dalam jarak 6 garisan.

 
Tutup semula lapisan atas plastik. Kemudian terbalikkan doh tersebut dan buka semula lapisan plastik. Ambil jem nanas yang telah dibentukkan secara lonjong (lihat contoh gambar diatas) dan letakkan atas doh. Ambil bahagian hujung doh dan gulungkannya.

 
Ambil pisau dan potong tart yang telah digulung. Letakkan bahagian akhir doh yang dipotong dibahagian bawah. Hasilnya boleh dilihat seperti diatas. Jika doh pecah semasa menggulung, maksudnya doh kita tadi terlalu kering atau kurang padat semasa dikepal. Tambah sedikit marjerin kalau terlalu kering, Doh tart ni memang terlalu sensitif dengan udara sebab tu kena sentiasa ditutup. Tapi kalau dah digulung tu tak de masalah kalau terdedah dengan udara.

 
Akhir sekali, susun dalam dulang pembakar / loyang dan sapu kuning telur diatasnya. Seterusnya bakar pada suhu 150 darjah celcius selama 20 minit/sehingga masak.



 
Tada.. siap sudah untuk disusun didalam balang. Anggaran: 130-140 biji tart gulung 

Selamat mencuba. Wassalam.