Thursday, 3 October 2013

Panggilan haji Abah dan Ngah

Maaf jika entri ini kelihatan sedikit emosional dan panjang, Almaklumlah menulisnya pun ketika batuk dan demam. Mungkin kesan kekurangan rehat akibat pelbagai rentetan peristiwa yang berlaku sepanjang bulan September yang lalu. Syukur juga badan cik Z mampu bertahan sehingga malam Ahad yang lepas. Bunyinya macam pelik, tapi memang betul balik je dari Kelana Jaya terus satu badan rasa sakit dan esoknya demam dan sampai hari ni pun belum okay lagi. 

Malam Ahad 29 September 2013 yang lepas, kami sekeluarga berkumpul di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya bagi meraikan pemergian abah dan Ngah ke Makkah untuk menunaikan haji tahun ini. Syukur Alhamdulilah. It likes miracle, really. Sejujurnya, mungkin tiada ungkapan lain yang benar-benar dapat menggambarkan hati-hati kami saat ini. Syukur Ya Allah kerana mempermudahkan perjalanan mereka. Syukur Ya Allah kerana memberi kami ujian agar kami selalu mengingatiMu. Syukur Ya Allah kerana memberi kami peluang memikirkan hikmah disebalik setiap peristiwa dan dugaan yang datang. 

Sebenarnya ini kali kedua abah mendapat jemputan haji ke Makkah selepas kali pertama pergi bersama Arwah mak pada tahun 2002. Mengenangkan usia abah yang dah lanjut, ditambah dengan penyakit kencing manisnya, maka kami adik beradik sebulat suara sepakat setuju yang Ngah akan temankan abah ke Makkah memandangkan Ngah lah satu-satunya adik beradik lelaki yang kami ada, walaupun kalau ikutkan abah dia nak pi sorang2 je. Faham-faham je la kan orang tua. Walaubagaimanapun, Ramadhan lepas kami mendapat khabar yang kuota haji tahun ini dikurangkan 20% dan oleh kerana Ngah mendaftar lambat jadinya hanya abah yang lepas untuk pergi. Walaubagaimanapun, kami masih lagi menaruh harapan moga-moga adalah sedikit keajaiban yang berlaku nanti.

Hanya Allah sajalah yang tahu betapa risaunya kami. Untuk pengetahuan semua, ayah cik Z ni kena buat suntikan insulin 2 kali sehari dan kena jaga makan dan kena elakkan dari terluka. Lagipun kesan luka di tapak kaki kiri (yang ni kena sebab kasut hilang masa buat umrah April lepas) masih belum baik sepenuhnya dan masih perlu dicuci setiap hari. Nampaknya harapan kecil kami agar Ngah pun dapat panggilan dari Tabung Haji tak menjadi kenyataan. Dua minggu selepas Syawal, memang betul hanya abah yang dapat surat pengesahan tarikh penerbangan ke Madinah iaitu pada 9 September dari Senai. Makanya hanya abahlah yang buat persiapan untuk ke Makkah.

Tapi perancangan Allah tu kan hebat. 4 hari menjelang 9 September, semua persiapan dah pun dibuat. Beg pun dah berkemas. Adik beradik semua dah ambik cuti. Malah anak-anak sedara semua dah buat surat cuti untuk diberikan kepada cikgu kat sekolah nanti. Cik Z sendiri pun dah bersiap2 untuk pulang ke kampung. Berhari2 juga stay up mengerah otak mencari idea  menulis program untuk simulation study. Tiba2 dapat panggilan dari kampung, katanya good news Ngah dapat juga panggilan haji. Semua terkejut tapi lega. Sangat tak sangka okay. Very last minute kan. Kuasa Allah. Syukur Alhamdulillah. Terasa bagai doa-doa kami termakbul. Secara automatiknya penerbangan 9 september tu pun terbatal. Jadinya cik Z pun tak jadilah balik ke kampung minggu tu. 

Ada hikmahnya juga sebab kalau nak tahu masa tu memang ada masalah kritikal dengan cik Z punya research. Ditambah pulak hujung minggu sebelumnya tu kan baru je balik dari Hong Kong. Memang seriously tak de masa nak berehat-rehat. Dari satu sudut, seolah2nya Allah nak bagi peluang kat cik Z untuk cuba selesaikan masalah research ni dulu. Kalau tidak mesti rasa tak tenteram je nak balik kampung. Alhamdulillah, menjelang hujung minggu seterusnya masalah kritikal tu pun dapat diselesaikan dan kebetulan ada cuti sempena hari Malaysia jadinya cik Z fikir bagus juga kalau balik kampung. Konon-konon nak bagi otak rest sekejap he he. Oh ya masa ni kami semua dah dapat tahu tarikh baru diorang nak ke Makkah nanti.

Sabtu 14 September sekitar jam 4. Masa tu cik Z baru je sampai kat kampung. Nyesal juga balik waktu cuti umum. Jem tahap dewa tau. Penat kaki tekan brek dan tukar gear. Tapi nak buat macam mana, tu je la hari yang freenya. Kebetulannya kan cik Z baru balik dari Hong Kong, so cik Z pun belikanlah T-Shirt untuk semua orang. Tengah sibuk-sibuk diorang pilih-pilih tu, alih-alih salah sorang abang ipar cik Z perasan yang ada air pelik tiba2 keluar dari ibu jari kaki sebelah kanan abah cik Z. Terkejut semua. Rupa-rupanya kaki abah yang sebelah kanan plak membengkak dari bawah lutut ke tapak kaki hinggalah ke ibu jari. Anehnya abah cik Z kata dia tak rasa apa-apa pun. Dia cuma rasa kebas je. 

Yang paling rasa ralat semestinyalah Long dan Uda sebab diorang yang ada kat rumah kan. Petang tu juga pergi ke klinik. Sebenarnya Long pujuk suruh pi hospital tapi abah tak nak. Rupa-rupanya kadar gula dalam darah abah naik tinggi sangat. 29 tau bacaan nya. Kata doktor tu mujurlah cepat pi klinik kalau tak dah kena stroke. So dia pun bagilah antibiotik untuk turunkan bengkak tu. Sebenarnya juga 2 hari sebelum tu abah memang ada demam sendi agak teruk juga dan rupa-rupanya itu antara tanda-tanda awal. 

Mula2 tu memang semua orang pelik kenapa lah kadar gula dalam darah abah naik tinggi sangat. padahal kalau nak diikutkan makan berjaga ni. Rupa2nya malam tu pecah la cerita yang sejak dua menjak ni abah memang selalu tak jaga makan rupanya. Lebih2 lagi sekarang ni kan musim buah dan open house raya pun baru je habis. Tambah2 pulak dalam minggu tu kat rumah selalu pulak la buat cempedak goreng. Lepas tu bantai pulak makan pisang dan durian. Mana tak nya kan. Malam tu jugak abah demam lagi. Serius semua orang risau tak lena tidur sampai Long pun siap tidur kat bilik abah. Dalam fikiran kami janganlah apa2 yang buruk berlaku dan berharap sangat yang bengkak tu akan surut sebelum ke Makkah nanti. Bayangkan lagi 2 minggu ni. 

Ahad 15 September. Pagi-pagi lagi Long dan abg Jamal (abg ipar) dah bawa abah ke JB. Tujuannya nak ke pusat rawatan ozon khas untuk pesakit diabetes di Taman Sutera. Sebelum ni abah memang dah pernah ke sini untuk buat rawatan untuk kaki yang kiri tu dulu. Tengah sibuk menyapu tetiba dapat berita yang doktor kat situ terpaksa korek sebahagian daging kat sekeliling ibu jari kaki abah sebab dah mati selnya. nampak daging tau. Ya Allah, sound so scary kan. Dengar pun seram apatah lagi melihatnya depan mata. Tak boleh nak gambarkan apa perasaannya. Sedih ada kesian pun ada. Bak kata Long, hampir semua orang kat situ menangis bila tengok doktor korek kaki abah lebih2 lagi bila dapat tahu yang abah sebenarnya tengah menghitung hari nak Makkah. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kata doktor, memang dah teruk ni dan dia akan cubalah buat yang terbaik dan abah kena datang buat rawatan susulan sampai hari sebelum ke Makkah. Rawatan tu termasuklah masukkan 10 botol antibiotik dalam badan yang berharga RM150 sebotol.

Walaupun risau, tapi dek kerana mengenangkan banyak kerja-kerja yang tertangguh perlu diteruskan makanya terpaksalah juga cik Z balik ke KL hari Isnin 16 September esoknya tu. Oh ya oleh sebab abah dah susah nak berjalan jadinya kami decide kena belikan kerusi roda. Kalau tak silap hari Selasa dah pun dapat kerusi rodanya. Hari selasa tu juga cik Z tetiba kena sakit tekak dan badan pun dah mula rasa macam nak demam, tapi gagahkan la juga diri datang ke Uni walaupun hati masih rasa tak berapa best. 

Hari Rabu 18 September, pukul 11++ pagi tetiba dapat panggilan dari rumah. Masa ni cik Z dah rasa lain macam dah. Rasa berdebar nak angkat telepon. Tak tahu nak kata apa bila Long cakap yang kaki abah tak dapat diselamatkan lagi. Sekarang tengah on the way ke hospital tapi tak tahu hospital mana plak. Katanya nak kena potong hari tu juga sebab takut merebak ke bahagian lain. Ya Allah besarnya dugaanMu. Dah la masalahnya masa tu tak tahu detailnya lagi sebab yang bawa abah pergi buat rawatan hari ni hanya abg Jamal sorang. Masa tu rasa macam nak terbang je balik ke kampung. Dah la tak dapat lagi maklumat yang betul, nak telepon tanya pun tak boleh juga sebab bayangkan macam mana kelam kelibutnya semua orang. Uihh dalam kepala ni macam2 la pikirnya. Buat kerja pun serba tak kena jadinya. Kalau duduk dekat memang confirm dah balik ni dah la kena drive sendiri kan. tapi mengenangkan yang penat balik haritu pun belum hilang lagi tambah2 badan pun tak berapa sedap maka bersabarlah cik Z menghitung waktu menanti berita terkini. 

Tengahari sikit, baru cik Z telepon rumah semula nak tahu berita terkini. Masa ni diorang tengah bersiap nak ke JB dan masih juga tak tahu detail. Yang diorang tahu tetiba plak darah tinggi abah naik padahal mana ada darah tinggi sebelum ni. Aduh serius tambah risau kan. Akhirnya pukul 5++ baru dapat cerita detailnya. Apa-apapun syukur sangat hanya ibu jari kaki je yang terpaksa dipotong sebab memang bahagian tu dah totally mati. Katanya, darah tinggi abah naik sebab terlalu risau dan terkejut. Bila cucu-cucunya sampai baru darah tingginya turun dan bila stabil barulah operation boleh dibuat.  Ingatkan kena tahan wad ke apa kan. Rupa2nya tak pun sebab hanya potong kat klinik swasta yang di arahkan dan rawatan susulan kenalah datang balik ke pusat rawatan ozon yang tadi tu. Serius rasa legala sikit. Sekurang-kurang abah masih berpeluang untuk ke Makkah. Cuma penjagaannya tu...  Apapun tarikh 18 September pasti akan mudah diingati sampai bila2 lagipun esoknya 19 September tu hari lahir abah tau. 

Mula-mula tu ingatnya nak balik kampung semula hari Khamis pagi, tapi akhirnya cik Z pilih hari Jumaat atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan iaitu terpaksa kutip simulation result dulu dan kena pulak run dia balik semula. Jumaat 20 September, sampai kat rumah nampak abah dah pun menunggu kat anjung rumah duduk berkerusi roda. Kata Long memang tunggu cik Z balik tu, uihh terharu gitu. Yang sedihnya, badan abah nampak kurus sangat padahal baru je 3 hari sebelumnya cik Z jumpa masih berisi lagi. Rupa-rupanya kata Long sejak hari selasa tu abah tak de selera makan. Bila lepas kena potong tu lagi la hilang terus selera sebab sakit kan. Oh ya kalau nak tahu kat rumah ni kalau masa cuci tu yang buatnya ialah Long tau. Hebatkan kak Long cik Z ni. Bukan semua orang yang berani nak tengok keadaan luka tu sebab nampak tulang dan daging, apatah lagi nak tolong mencucinya. Cik Z cuma berani tengok je sambil tolong suluh lampu picit bagi terang he he.

Suasana kat kampung memang agak kelam kelibut. Abah tak boleh jalan jadi nak ke mana2 memang perlu dibantu. Nak makan ke nak minum ke perlu di tanya selalu. Makan pun kena berpantang. Macam mini hospital pun ada jadinya. Barulah tahu bukan senang rupanya nak tolak kerusi roda. Dah la rumah kat kampung tu lantainya tinggi rendah. Kebetulan juga saudara mara dan jiran tetangga baru je tahu, jadinya ramailah yang datang menjenguk. Kira macam tak kering tangan jugalah semua orang.

Sabtu dan Ahad berikutnya tu cik Z ambik alih tugas hantar abah ke pusat rawatan kat JB tu. Yang kelakar tu masa hari Sabtu cik Z pergi dengan Ngah dan abg Zali (abg ipar), sekali doktor tu tanya macam ni. "ha, antara 3 orang ni siapa yang bagi abahnya makan cempedak banyak2 hari tu sampai kena potong ni?". Uihh terkejut kami. Nak gelak pun ada. Peluang pergi ke pusat rawatan ini terasa sungguh berharga dan menginsafkan. Seolah-olahnya kami pergi buat lawatan sambil belajar. Banyak ilmu yang kami dapat dan kami dapat tengok depan mata ada macam-macam lagi kes kencing manis yang serius. Ada yang dah tak de kaki, ada yang tapak kakinya berlubang, ada yang tak cukup jari, dan macam-macam lagi. ramai plak tu. Nurse kat situ pun macam tak menang tangan dah. Yang bagusnya diorang ni penyabar dan peramah orangnya. Cik Z ni kan jenis suka bertanya, kira macam2 soalan la cik Z tanya. Semuanya diorang jawab je seikhlas yang mungkin. Pastu setiap kali diorang duk cuci luka orang, kami ni duk ikut dan tengok sambil tanya-tanya itu dan ini. Semua orang layan je kerenah kami he he. bila ingat-ingat balik rasa macam budak sekolah pun ada hehe.
Dipendekkan cerita, akhirnya malam 29 September yang lepas berangkatlah abah dan Ngah ke Makkah. Selama 45 hari ni Ngah la yang akan ambik alih tugas Long, tolong jaga dan cuci luka abah nanti. Dua hari sebelum pergi tu abah dah mula cuba-cuba menapak guna tongkat. Dan khabarnya bila sampai kat Makkah pun dah mula cuba berjalan sendiri walaupun kalau nak diikutkan puas sudah kami memesan jangan dibuat lasak lagi sebab lukanya belum baik kan. Tapi faham2 je la orang tua ni. 



Apapun, banyak hikmahnya segala ujian yang menimpa ni. Salah satunya mungkin Allah nak bagi peluang kat Ngah untuk menambah pahala menjaga orang tua. Ya bukan mudah ya. Dan memang niat kami agar Ngah dapat pergi ke Makkah nanti untuk tengok-tengokkan abah, jadi memang sungguh terjadi bagai apa yang di niatkan. Sesekali terfikir juga, andaikatalah yang abah jadi juga pergi pada tarikh 9 September tu dan sakit sorang2 kat Makkah, entah bagaimanalah nanti. Sesungguhnya benarlah, Allah itu sebaik-baik perancang. Semoga perjalanan haji abah dan Ngah dipermudahkan disana. Selamat pulang dengan sihat dan mendapat haji yang mabrur. InsyaAllah. 

No comments:

Post a Comment